SETIU – Seorang lelaki mengambil inisiatif meneruskan perniagaan rempeyek setelah kematian isterinya pada lapan tahun lalu.
Khairuddin Saad, 57, berkata, perusahaan rempeyek itu telah diusaha arwah isterinya, Rahmah Salleh sejak tahun 2007.
“Rempeyek air tangan arwah isteri (Rahmah) mempunyai peminatnya tersendiri sehingga pernah ditempah Istana Terengganu.
“Biarpun pada mulanya agak ‘patah kaki’ apabila dia meninggal dunia pada tahun 2018, saya kuatkan semangat untuk meneruskan legasi perusahaan rempeyek ditinggalkannya,” katanya ketika ditemui di Kampung Kenangan di sini semalam.
Khairuddin berkata, dia menggunakan pengalaman membantu arwah isterinya sebelum ini untuk mendapat rasa dan kualiti rempeyek sama seperti air tangan arwah isterinya.
Bapa empat anak itu berkata, usahanya berhasil setelah berkali-kali mengadun dan menggoreng rempeyek berkenaan.
“Resipi asal yang menggunakan rempah-ratus seperti jintan manis, jintan putih, ketumbar serta bawang putih dikekalkan. Ia membuat rasa rempeyek itu istimewa dan disukai pelanggan tetap kami. Alhamdulillah sambutan diterima terus baik sehingga hari ini,” katanya.
Khairuddin berkata, permintaan terhadap rempeyek kami biasanya meningkat pada musim perayaan dan cuti persekolahan.
Beliau berkata, rempeyek diusahakannya kini bukan sahaja sering ditempah agensi dan jabatan kerajaan, malah sudah menembusi sebuah pasar raya besar terkenal di Kuala Terengganu

No comments:
Post a Comment