Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA NERUS – Seorang wanita yang baru menjalani pembedahan katarak mata bersama suaminya yang uzur kerana strok terpaksa berpindah selepas rumahnya di Taman Murni Permai, Tok Jembal di sini dinaiki air banjir malam tadi.
Zaitun Sulong, 55, berkata, dia masih perlu memakai cermin mata gelap untuk melindungi matanya yang masih silau jika terdedah dengan cahaya matahari.
“Saya meminta bantuan jiran-jiran untuk memapah suami, Abdul Ghani Awang , 59, yang masih dalam proses pemulihan selepas terkena strok pada bulan April lalu.
“Air banjir naik dengan cepat dalam tempoh kurang dua jam selepas hujan lebat pada pukul 6 petang semalam,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tol Jembal di sini hari ini.
Zaitun berkata, pergerakan suaminya masih lemah dan perlu dipantau bagi mengelakkan perkara tidak diingini.
Sehubungan itu, dia dan suami mendapat ihsan sekteriat jawankuasa pengurusan bencana PPS SK Tok Jembal untuk ditempatkan di tingkat bawah.
“Kalau ikutkan rumah kami sudah biasa dilanda banjir hampir setiap tahun. Sepanjang 30 tahun ini sudah 28 kali saya sekeluarga terpaksa berpindah ke PPS,” katanya. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment