Oleh MOHD. AZLI ADLAN
HULU TERENGGANU - Bekas tahanan Al-Maunah, Awie (bukan nama sebenar), 49, lega kembali memperolehi lesen menunggang motosikal semalam.
Dia yang berasal dari Kuala Berang di sini berkata, pada bulan lalu, dia juga berjaya lulus ujian memandu kereta.
Menurutnya, kedua-dua lesen memandunya luput tempoh selepas dia menjalani hukuman penjara hampir 20 tahun sebelum menerima pembebasan awal dengan pengampunan Yang diPertuan Agong baru-baru ini.
"Saya perlu melakukan ujian praktikal untuk memperbaharui semula lesen motosikal (B2) dan kereta (D) yang pernah diambil pada tahun 1994.
"Bagaimanapaun, kali ini beberapa kelonggaran diberi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seperti tidak perlu menjalani ujian amali dan teori," katanya ketika ditemui di Akademi Persatuan Institut Pemandu (PIMA) di Ajil di sini semalam.
Awie berkata, hujan lebat tidak mematahkan semangatnya untuk melakukan yang terbaik di hadapan pegawai penguji JPJ bagi ujian praktikal lesen B2.
"Saya kini boleh menunggang motosikal dan memandu kereta dengan tenang tanpa perlu takut ditahan polis dan JPJ.
"Bolehlah saya bergerak bagi memajukan perusahaan sarang kelulut yang sedang diusahakan sekarang," katanya.
No comments:
Post a Comment