Translate

Friday, November 20, 2020

Kenderaan polis bawa mayat pekerja ladang terlibat kemalangan

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Sebuah kenderaan pacuan empat roda, Land Rover milik Polis Diraja Malaysia yang sedang membawa mayat seorang pekerja ladang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 52, Bari, Sungai Tong di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 1 tengah hari itu, kenderaan pacuan empat roda berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas ke bawah tebing sebuah ladang kelapa sawit.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandu kenderaan pacuan empat roda tersebut yang merupakan anggota polis Pondok Polis Chalok Barat di sini terseliuh bahu kiri.

“Seorang lelaki berusia 57 tahun merupakan waris jenazah tersebut yang turut berada di dalam kenderaan pacuan empat roda itu pula patah lengan kirinya,” katanya di sini hari ini.

Afandi berkata, kemalangan tersebut yang berlaku dalam hujan lebat itu berlaku dalam keadaan jalan licin.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang cedera telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Setiu di sini untuk menerima rawatan.

“Mayat pekerja ladang terbabit pula dihantar ke unit forensik hospital sama untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan1987,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment