Translate

Thursday, November 19, 2020

Elak kawasan pantai musim tengkujuh

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Orang ramai dinasihatkan agar menjauhi kawasan pantai terutama Pantai Timur termasuk Terengganu sepanjang musim tengkujuh ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Md. Hilman Abd. Rashid berkata, sebarang aktiviti air termasuk berenang tidak sesuai dilakukan di kawasan pantai di negeri ini ekoran cuaca tidak menentu dan fenomena ombak besar dan air pasang pada monsun Timur Laut.

Beliau berkata, perairan Terengganu pada masa ini juga agak bergelora pada waktu ini berikutan tempias bencana ribut taufan yang telah melanda Filipina dan Vietnam baru-baru ini.

“Banyak kematian disebabkan aktiviti air telah dicatatkan di negeri ini pada musim tengkujuh pada bulan November hingga Mac setiap tahun.

“Seramai 16 maut akibat lemas pada dua tahun lalu manakala tahun lalu, 12 orang telah dilaporkan terkorban. Kalau boleh pada tahun ini, jika tidak boleh sifar kematian, kita berharap statistiknya berkurangan,” katanya selepas melakukan pemantauan di Pantai Tanjung Gelam di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Md. Hilman berkata, JBPM telah melantik 12 nelayan untuk menganggotai Pasukan Penyelamat dan Keselamatan Air (SWART) bagi memantau beberapa kawasan pantai di negeri yang berisiko sepanjang musim tengkujuh ini.

Beliau berkata, anggota SWART yang bertaraf pegawai bomba bantuan tersebut akan melakukan rondaan dan memberi khidmat nasihat kepada pengunjung di kawasan pantai terlibat. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment