Translate

Saturday, November 28, 2020

361 mangsa banjir di Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Cuaca agak baik sejak petang semalam membolehkan banjir di Terengganu semakin pulih dengan hanya 361 mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, setakat pukul 8 pagi tadi, sebanyak 12 PPS masih dibuka di empat daerah iaitu Kuala Nerus, Dungun, Kuala Terengganu dan Marang.

“Kuala Nerus kekal daerah paling terjejas dengan 224 mangsa daripada 56 keluarga masih ditempatkan di enam PPS.

“Seramai 80 mangsa banjir daripada 19 keluarga pula masih ditempatkan di empat PPS di Dungun,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Che Adam berkata, hanya satu PPS masih beroperasi masing-masing di Kuala Terengganu dan Marang.

Jelas beliau, ia melibatkan 30 mangsa daripada lapan keluarga di Kuala Terengganu dan 26 mangsa daripada tujuh keluarga di Marang.

“Biarpun hujan sudah berhenti hampir di keseluruhan Terengganu pada pagi ini, kita masih dalam keadaan berjaga-jaga memandangkan amaran cuaca berbahaya yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Pemantauan juga mendapati beberapa batang sungai di Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman masih pada paras bahaya,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment