Translate

Thursday, November 19, 2020

Covid 19 : Masjid Nasiruddin Shah ditutup tiga hari

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Masjid Nasiruddin Shah yang terletak di Kampung Raja, Besut diarah tutup selama tiga hari sehingga lusa setelah salah seorang jemaahnya disahkan positif Covid-19.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad berkata, jemaah tersebut yang disahkan positif Covid-19 pada semalam didapati telah menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan pada 13 November lalu.

Beliau berkata, penutupan masjid itu selaras dengan Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Masjid Nasiruddin Shah, Kampung Raja, Besut diarah tutup selama tiga hari sehingga Rabu ini bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 terhadap penduduk setempat.

“Sepanjang tempoh penutupan itu, kerja-kerja sanitasi akan dijalankan di masjid tersebut,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mat Azmi memberitahu masjid-masjid lain di seluruh Terengganu masih dibenarkan untuk mendirikan solat fardu lima waktu dan solat Jumaat mengikut kapasiti dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Begitupun solat Jumaat tidak dibenarkan di masjid dan surau yang berada di zon merah di negeri ini selain hanya tiga orang terdiri daripada pegawai masjid dan ahli jawatankuasa masjid secara bergilir-gilir dibenar untuk mendirikan solat fardu berjemaah. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment