Oleh MOHD. AZLI ADLAN, KHAIRUL MOHD. ALI, HASLIZA NUSI, NUR NAZLINA NADZARI dan AIMUNI TUAN LAH
PETALING JAYA - Perayaan Deepavali semalam disambut secara sederhana oleh semua penganut agama Hindu di seluruh negara mengikt prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan.
Pelbagai juadah signatur perayaan itu seperti kari kambing, capati dan tosai disediakan kepada tetamu yang hadir biarpun bilangannya berkurangan berbanding tahun sebelumnya.
Di George Town, sambutan Deepavali pada kali ini agak berbeza apabila diraikan dalam suasana norma baharu dan tida sesi kunjung-mengunjung daripada sanak-saudara yang berada di luar Pulau Pinang.
Kakitangan awam, K. Dharmesuuary, 40, walaupun sukar dengan keputusan kerajaan namun di sudut hati dia berasa sedih kerana tidak dapat berkumpul bersama empat ahli keluarganya.
"Biasanya setiap kali tiba pesta cahaya, mereka berkumpul di rumah saya di Air Itam. Kami makan bersama, namun pada kali ini, saya meraikan bersama suami, M. Prabu dan anak, P. Mauval, 12.
"Pagi tadi (semalam), kami pergi ke kuil dan ke rumah mertua pada sebelah petang," katanya kepada Kosmo! Ahad.
Bagi menambahkan keceriaan perayaan itu, dia sekeluarga membuat panggilan video bagi melepaskan rindu kepada abang, kakak dan adiknya.
Di Gua Musang, lebih 500 masyarakat India menyambut Deepavali secara sederhana namun meriah termasuk pasangan P. Pandiyan, 61, dan E. Sarasu, 56.
"Kami membuat pemeriksaan suhu badan tetamu dan mewajibkan mereka pakai pelitup muka.
"Kami juga menyediakan makanan seperti muruku dan nasi dagang," katanya yang tinggal di Taman Kesedar Putra di sini semalam.
Sementara itu, Sarasu berkata, setiap tahun, dia akan bersama-sama dengan anak dan menantunya menyediakan juadah perayaan namun pada tahun ini mereka hanya membeli juadah.
Di Perlis, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Teh Chai Ann berkata, biarpun negeri itu tidak terlibat dengan pelaksanaan PKPB tetapi rakyatnya dinasihatkan supaya menyamnut pesta cahaya tersebut mengikut norma baharu yang ditetapkan.
"Jumlah individu yang dibenarkan pada satu-satu majlis seperti kenduri adalah 250 orang.
"Meraya yang pulang ke negeri ini turut dinasihatkan supaya menjalani kuarantin bagi mengelakkan jangkitan (Covid-19) baharu," katanya selepas mengunjungi rumah Pengerusi MIC Kampung Kolam, Padang Besar, K. Perumal di sini semalam.
Sementara itu, Perumal memberitahu, Deepavali pada tahun ini disambut kuranhg meruah berikutan empat daripada lima anaknya tidak dapat pulang ke kampung kerana berada di Kuala Lumpur dan Singapura.
Dalam pada itu, di Pasir Gudang, walaupun sambutan Deepavali tahun ini disambut sederhana, ia tidak menghalang warga emas, S. Chandram, 61, dan anak saudaranya, G. Sri Durga Devi, 18, membuka pintu kepada tetamu yang berkunjung ke rumah mereka di Taman Air Biru.
Chandram dan Durga Devi yang merupakan orang kurang upaya (OKU) menyambut perayaan itu beruda di rumah berkenaan.
"Setiap kali perayaan Deepavali, saya bangun awal untuk memandikan Durga Devi dan menyarungkannya pakaian baharu.
"Selepas itu, saya akan membuat tosai, memasasak daging kambing dan ayam untuk dimakan setelah selesai upacara sembahyang," katanya.
Menurut Chandram, anak saudaranya itu mengalami masalah kesihatan sejak bayi kerana dilahirkan tidak cukup bulan dan hanya mampu terbaring selian duduk di atas kerusi roda.
Tambahnya, mereka berdua menyara kehidupan dengan menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Yayasan Pasir Gudang.
No comments:
Post a Comment