Paparan masyarakat Terengganu zaman silam
Oleh MOHD. AZLI ADLAN
BUNTANG mata Zara Elena Mahmud pertama kali melihat demonstrasi keropok digoreng menggunakan pasir sewaktu melawat Kampung Budaya Terengganu baru-baru ini.
Biarpun tanpa minyak, keropok terbabit tetap mengembang seperti biasa di dalam kuali yang penuh dengan timbunan pasir.
Gadis berusia 27 tahun itu berkata, berdasarkan penerangan kakitangan Kampung Budaya Terengganu terlibat, menggoreng keropok dengan pasir merupakan teknik yang sering digunakan masyarakat nelayan di negeri tersebut pada zaman dahulu.
"Pasir halus tersebut diambil dari kawasan pantai dan telah dipastikan kebersihannya. Menggoreng keropok dengan pasir dikatakan lebih menyihatkan kerana tanpa penggunaan minyak selain lebih terasa keenakannya.
"Walaupun pada mulanya agak ragu-ragu tetapi kata-kata staf Kampung Budaya Terengganu itu benar, keropok tersebut enak tanpa mempunyai rasa pasir apabila saya merasainya," ujarnya ketika ditemui Panorama baru-baru ini.
Zara Elena berkata, selain demonstrasi menggoreng keropok dengan pasir, beliau juga teruja dengan pelbagai pengalaman baru dirasai ketika melawat Kampung Budaya Terengganu yang terletak di Losong, Kuala Terengganu.
Gadis itu berkata, berkunjung ke tarikan pelancongan terbaharu berkenaan seolah-olah membawa beliau untuk mengamati sendiri kehidupan tradisional masyarakat Melayu Terengganu pada zaman lampau.
"Kita dapat merasai gaya hidup masyarakat negeri Pantai Timur ini seperti kehidupan mereka sebagai nelayan, seni pembuatan kapal, bot dan perahu, busana, seni bina rumah tradisional, permainan, tarian, serta seni mempertahankan diri.
"Demontrasi memasak masakan dan kuih-muih tradisional Melayu Terengganu termasuk yang paling pupus juga ditonjolkan. Paling menarik kita berpeluang merasai keenakannya," katanya.
Kampung Budaya Terengganu yang terletak bersebelahan dengan Kompleks Muzium Negeri baru dibuka untuk lawatan pelancong pada 3 September lalu.
Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan Acara dan Promosi) Jabatan Pelancongan Terengganu, Ahmad Fathil Abdul Ghani berkata, tarikan pelancongan terbaharu itu berkonsepkan muzium hidup yang menghimpunkan pelbagai seni budaya, warisan dan kesenian dari semua lapan daerah terdapat negeri yang sinonim dengan penyu tersebut.
Beliau berkata, idea asal perkampungan budaya bertujuan untuk memaksimumkan potensi keunikan lima rumah tradisional Melayu Terengganu yang terletak di dalam Kompleks Muzium Negeri.
"Lima rumah itu ialah Rumah Tele, Rumah Limas Belanda, Rumah Bujang Berpeleh, Rumah Bujang Berserambi Selasar dan Istana Tengku Long.
"Kesemua rumah ini telah dipindahkan dari kawasan asalnya di sekitar Terengganu dan masih kukuh walaupun sudah berusia ratusan tahun," katanya.
Ahmad Fathil berkata, selain lima rumah tradisional itu, Kampung Budaya Terengganu turut mempunyai Galeri Pelayaran dan Rumah Nelayan bagi menonjolkan kegemilangan lampau penduduk negeri ini yang terkenal dalam ilmu pelayaran dan kelautan.
Tambah beliau, pengunjung yang melawat perkampungan budaya tersebut akan dibawa ke tujuh persinggahan termasuk di lima rumah tradisional terbabit.
"Setiap persinggahan tersebut mempunyai tarikannya yang tersendiri yang memaparkan warisan, seni budaya dan kesenian dari daerah Kemaman hingga Besut," jelasnya.
Ahmad Fathil memberitahu, demonstrasi pembuatan perahu dipersembahkan di Galeri Pelayaran manakala pengunjung pula boleh melihat pembuatan jala, bubu, keropok, ikan kering dan belacan serta pameran perahu di Rumah Nelayan.
Rumah Bujang Berserambi Selasar yang asalnya milik tokoh agamawan, Syeikh Abdul Kadir Kolam dibina pada tahun 1855 pula menyajikan demonstrasi pembuatan seni khat, ukiran, kayu, bubur Asyura selain persembahan berzanji dan pameran barangan antik.
Pengunjung boleh melihat demonstrasi anyaman di Rumah Bujang Berkembar yang merupakan perhentian ketiga manakala pembuatan wau, gasing dan permainan tradisional lain di Rumah Limas Belanda.
Rumah Tele pula menampilkan pemeran adat dan budaya, peralatan dapur lama dan pakaian tradisional serta demonstrasi mencanting batik, songket, tembaga, tembikar dan batik blok.
Istana Tengku Long yang pernah diduduki pemerintah Besut pada awal abad ke-20 pula menyajikan pameran barangan diraja, barangan istana, demontrasi pembuatan keris dan lembing serta persembahan gamelan.
Pengunjung dapat menikmati persembahan silat dan kebudayaan selain membeli makanan tradisional dan cenderahati di persinggahan terakhir iaitu Laman Singgah Sana dan Warisan.
Ahmad Fadhil berkata, sambutan terhadap Kampung Budaya Terengganu amat memberansangkan dengan kehadiran lebih 25,000 pengunjung dalam tempoh tiga minggu pertama pembukaannya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, selain merupakan pakej Jejak Warisan, pembukaan Kampung Budaya Terengganu itu merupakan landasan bagi memelihara, memulihara dan mengembangkan khazanah seni warisan negeri tersebut.
Beliau berkata, ia juga membuka peluang kepada penggiat seni dan budaya Terengganu untuk berkarya di bawah satu bumbung.
"Kampung Budaya Terengganu merupakan produk terbaharu yang disasar menjadi pemangkin terhadap kehadiran lebih ramai pelancong ke negeri ini.
"Ia merupakan strategi jangka panjang kepada sektor pelancongan negeri dan kita yakin impaknya dapat dilihat selepas pandemik Covid-19 reda kelak," katanya.
Ariffin menyifatkan lokasinya juga strategik iaitu berhampiran Kompleks Muzium Negeri dan Taman Tamadun Islam yang menempatkan Masjid Kristal.
Perkampungan budaya itu terletak hanya sembilan kilometer dari pusat bandar Kuala Terengganu selain boleh diakses menerusi pengangkutan air iaitu bot penambang dan Teksi Air Payang serta pengangkutan udara di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.
No comments:
Post a Comment