Translate

Sunday, November 22, 2020

Bah di empat negeri

Oleh MOHD. AZLI ADLAN, EDDY HAMIDI dan MASTURAH SURADI

SEREMBAN - Hujan lebat selama lebih sejam sejak tengah malam semalam mengakibatkan beberapa lokasi di empat negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu dan Johor dinaiki air.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan, Fazlisyah Muslim berkata, di Seremban, lebih 400 buah rumah terjejas melibatkan kawasan Rasah, Ampangan dan Rantau disebabkan banjir kilat.

Menurut beliau, banjir kilat itu berlaku ekoran kapasiti hujan yang sangat ketara di hulu Sungai Lingi iaitu di bandar Seremban sekali gus menyebabkan kawasan yang berhampiran sungai mengalami banjir kilat.

"Berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran, hujan pada tengah malaam tadi (semalam) melebihi 150 mililiter pertiga jam iaitu bacaan yang sangat tinggi dan boleh menyebabkan bannir di kawasan rendah," katanya selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sega, Rantau semalam.

Antara kawasan terlibat ialah Kampung Datuk Mansor, Taman Happy, Taman Blossom di Rasah, Kampung Baru Blok C dan Taman Ampangan di Ampangan, Kampung Siliau, Kampung Kuala Sawah di Rantau dan Kampung Batu 3 di Mambau.

Fadlisyah memberitahu, sebuah PPS dibuka di SK Sega, Rantau yang menempatkan 16 buah keluarga setakat pukul 3 petang semalam.

"Jumlah itu dijangka meningkat namun kebiasaan penduduk kampung akan pulang untuk membersihkan rumah apabila air surut. Setakat ini mereka masih tidak dibenarkan pulang," katanya.

Selain daerah Serembanm, banjir kilat turut berlaku di Rembau, Tampin dan Jelebu.

"Kami juga terima maklumat berlaku banjir di Pasir Panjang, Port Dickson," katanya.

Sementara itu di Hulu Langat, kira-kira 60 rumah keluarga melibatkan 100 penghuni terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis memberitahu, seramai 30 anggota bersama empat buah bot penyelamat dikerah ke lokasi bagi membantu kerja-kerja pemindahan mangsa yang terkandas.

"Beberapa laluan utama terpaksa ditutup kepada semua kenderaan.

"Kami mendapati banjir berpunca daripada hujanb berterusan mengakibatkan air Sungai Langat melimpah ke kawasan sekitar Jalan Batu 16 hingga je Pekan Batu 28," katanya.

Di Kuala Terengganu, tujuh sekeluarga cemas selepas rumah mereka ditenggelami air setinggi 1.5 metrer dalam kejadaian banjir di Kampung Binjau, Chendering di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 7 malam itu, Mat Harun Awang, 62, dan keluarganya diselamatkan bomba dengan menggunakan sebuah bot.

Keluarga itu kemudiannya ditempatkan sementara di sebuah inap desa sementara banjir surut. Kejadian banjir itu turut menjejaskan sembilan rumah lain di kampung sama.

Dalam pada itu di Kota Tinggi, sebanyak enam buah rumah di Kampung Baru Pengerang dinaiki air selepas hujan lebat selama dua jam pagi semalam.

Siasatan awal mendapati banjir kilat itu berpunca daripada aliran parit yang tersumbat namun tiada pusat pemindahan banjir yang dibuka keana air surut pukul 10 pagi.


No comments:

Post a Comment