KUALA TERENGGANU – Kegiatan licik seorang peniaga yang meraih keuntungan mudah dengan menjual barangan tiruan berjenama terbongkar setelah tiga premisnya di bandar raya ini dan Kuala Nerus diserbu pada Rabu lalu.
Serbuan pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang bermula pada pukul 12 tengah hari itu berjaya merampas barangan tiruan berjenama dianggarkan berjumlah keseluruhan RM147,120.
Suspek yang berusia 20-an tersebut dipercayai telah mengaut keuntungan lumayan hasil penjualan barangan tiruan berjenama sejak tiga tahun lalu.
Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, rampasan berupa pakaian, kasut dan aksesori tiruan berjenama itu merupakan terbesar di negeri tersebut pada tahun ini.
“Serbuan yang turut disertai wakil pemilik cap dagang berkenaan turut berjaya menahan dalang yang merupakan lelaki berusia 20-an.
“Siasatan awal mendapati suspek menjual barangan tiruan berjenama disyaki tersebut secara online,” katanya pada sidang akhbar di Stor Ekshibit KPDNHEP Terengganu di sini hari ini.
Saharudin berkata, suspek disyaki menjadikan kediaman dan premis kedainya sebagai pusat untuk mempromosi dan menjual produk tiruan terbabit menerusi media sosial manakala stor tersebut sebagai transit penyimpanan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kesemua barangan berjenama tiruan itu diperolehi dari China.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019,” katanya. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment