Translate

Monday, November 16, 2020

Diiktiraf tapak warisan negara

TIGA daripada lima rumah tradisional Melayu yang terdapat di Kampung Budaya Terengganu telah diiktiraf sebagai tapak warisan oleh Jabatan Warisan Negara.

Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mesran Mohd. Yusop berkata, Rumah Tele dan Rumah Bujang Berpeleh serta Rumah Bujang Bujang Berserambi Selasar tersebut digazetkan sebagai tapak warisan mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Beliau berkata, Rumah Tele dan Rumah Bujang berkenaan masing-masing digazetkan sebagai tapak warisan pada tahun 2012 dan 2015.

"Inisiatif menjadikan tapak-tapak warisan berkenaan sebagai sebahagian daripada Kampung Budaya Terengganu selaras dengan hasrat Jabatan Warisan Negara.Kita mahu bukan sahaja premis bersejarah ini terus terpelihara malah dihargai masyarakat baik tempatan mahu pun antarabangsa," katanya ketika mengunjungi Kampung Budaya Terengganu baru-baru ini.

Menceritakan keunikan tapak warisan tersebut, Mesran memberitahu Rumah Tele atau juga dikenali sebagai Istana Tengku Nik telah dibina pada tahun 1888.

Selain didiami Cik Kalthum Daud yang merupakan salah seorang isteri Sultan Terengganu ke-12, Sultan Zainal Abidin III, Rumah Tele yang berkonsep Rumah Bujang Berserambi itu turut pernah menjadi tempat persinggahan sementara Raja Thailand kelima, King Rama V dan pembesar-pembesarnya sewaktu mengunjungi negeri tersebut pada September 1888.

Rumah itu yang pada asalnya terletak berhampiran Istana Maziah, Kuala Terengganu kemudiannya dimiliki Tengku Ngah Haji sebelum diserahkan kepada Tengku Nik Haji.

Kediaman yang turut dikenali sebagai Istana Tengku Nik telah terbiar kosong apabila kerabat diraja Terengganu itu berpindah ke Istana Bara sebelum dibeli oleh syarikat perlombongan bijih besi, Eastern Mining and Company Ltd.

Syarikat itu telah merombak dan memindahkan Rumah Tele ke Padang Negara, Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada tahun 1970 sebelum dibangunkan semula di tapaknya sekarang di Losong pada tahun 1987.

Rumah Bujang Berpeleh yang dinding rumahnya merupakan anyaman buluh bercorak Siku Keluang terletak di Jalan Hiliran, Kuala Terengganu pula pada asalnya milik Hasanah Kasim sebelum dipindahkan ke tapaknya sekarang pada tahun 1986.

Rumah Bujang Berserambi Selasar pula telah dibina anak murid tokoh agamawan, Syed Abdul Kadir Kolam secara bergotong-royong pada tahun 1855.Ruang selasar di rumah itu telah dijadikan pusat aktiviti anak-anak murid lelaki Syed Abdul Kadir Kolam belajar mengaji serta menjahit pukat dan jala.

No comments:

Post a Comment