Translate

Sunday, November 8, 2020

Koridor Lateks Pantai Timur tingkat pendapatan penoreh


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Ribuan penoreh getah di Terengganu, Kelantan dan Pahang bakal menerima limpahan manfaat daripada Koridor Lateks Pantai Timur yang dicadangkan pada pembentangan Bajet 2021 semalam.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali berkata, projek yang bertujuan meningkatkan pengeluaran susu getah cair atau lateks tempatan itu menerima peruntukan RM16 juta dalam pembentangan Bajet 2021 berkenaan.

Beliau berkata, penoreh getah di negeri-negeri di Pantai Timur bakal memberi tumpuan kepada penghasilan susu getah cair berbanding getah sekerap sebelum ini menerusi projek koridor lateks berkenaan.

“Penjualan susu getah cair dapat memberi pendapatan lebih tinggi melebihi dua kali ganda berbanding getah sekerap.

“Ia (susu getah cair) perlu dikutip penoreh terlibat setiap hari sebelum dikumpulkan oleh koperasi setiap kawasan. Proses jual beli dan penghantaran produk ini akan diuruskan anak syarikat Lembaga Getah Malaysia,” katanya.

Terdahulu beliau ditemui selepas menghulurkan bantuan segera berupa wang tunai dan barangan keperluan kepada mangsa kebakaran di Kampung Sungai Ikan, Tepoh di sini hari ini.

Khairuddin berkata, susu getah cair amat diperlukan dalam industri pembuatan sarung getah perubatan yang kini mendapat permintaan tinggi ekoran penularan pandemik Covid-19 pada masa ini. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment