Translate

Monday, November 16, 2020

26 peniaga langgar peraturan SHMMP dikompaun


KUALA NERUS – Seramai 26 peniaga telah dikompaun setelah didapati melanggar peraturan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali yang telah dikuatkuasakan sejak 9 November lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, seramai 24 peniaga terbabit didapati tidak memaparkan tanda harga manakala bakinya pula menjual barangan melebihi harga kawalan ditetapkan.

“Tindakan penguatkuasaan tersebut telah melibatkan jumlah kompaun dan rampasan sebanyak RM5,847.

“Sikap segelintir peniaga ini amat mengecewakan sewaktu sebahagian besar negeri sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya selepas melakukan pemantauan harga di sebuah pasar raya besar di Gong Badak di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia.

Rosol berkata, kesemua kesalahan itu telah dikompaun mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang memperuntukan hukuman kompaun hingga RM250,000 jika sabit kesalahan.

Menurut beliau, tiga kesalahan utama yang dipantau sepanjang SHMMP Deepavali yang akan berakhir pada esok ialah menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum serta gagal meletakkan tanda harga biasa dan merah jambu. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment