Translate

Saturday, November 21, 2020

20,000 keluarga asnaf Terengganu terima tong gas memasak percuma

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 20,000 keluarga dalam kalangan asnaf di negeri ini menerima tong gas memasak percuma daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, M. Rozi Bidin berkata, pemberian tong gas memasak berisipadu 14 kilogram tersebut bertujuan untuk meringankan beban golongan terbabit dalam musim banjir dan penularan pandemik Covid-19 ini.

“Maidam beri tong gas memasak yang setiap satunya berharga RM155 kepada setiap keluarga asnaf terlibat di negeri ini kerana ia merupakan barangan keperluan yang diperlukan di setiap rumah.

“Kita ambil inisiatif hantar sendiri tong gas memasak itu ke kediaman asnaf berkenaan kerana memahami pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini tidak digalakkan keluar rumah dengan kerap,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengetuai skuad Maidam menyerahkan tong gas memasak tersebut di rumah asnaf terpilih di Kampung Beladau Kolam dekat sini hari ini.

M. Rozi berkata, pemberian tong gas itu juga sebahagian daripada bantuan kecemasan yang diserahkan Maidam kepada golongan asnaf Terengganu yang terkesan oleh pandemik Covid-19.

Menurut beliau, secara keseluruhan Maidam telah membelanjakan RM3.1 juta menerusi peruntukan perbelanjaan am bagi menghulurkan bantuan kecemaaan berkenaan.

“Sebanyak 20,000 tong gas memasak itu akan diserahkan kepada keluarga asnaf berkelayakan secara berperingkat mulai semalam sehinggga awal tahun hadapan,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment