Translate

Sunday, November 22, 2020

Hanya 7 jam ada air

MARANG - Kehidupan seorang warga emas yang uzur bertambah perit apabila terpaksa berhadapan masalah gangguan bekalan air di rumahnya di Kampung Bukit Cempedak di sini hampir setiap hari sejak dua tahun lalu.

Hasmah Jusoh, 63, yang menghidap penyakit diabetes, tekanan darah tinggi dan kolestrol tinggi berkata, masalah disebabkan tekanan air rendah itu menyebabkan dia mengalami kesukaran menguruskan diri yang tinggal bersendirian di rumah tersebut.

Dia yang merupakan ibu tunggal berkata, rumahnya hanya menerima bekalan air dari pukul 2 pagi hingga 9.30 pagi sahaja hampir setiap hari dan ia kerap terputus terus pada hujung minggu.

"Jangankan memasak dan membasuh baju, hendak mandi dan mengambil wuduk pun sukar.

"Saya bimbang kalau masalah ini berlarutan, hendak mandi jenazah saya kalau sudah tiada (meninggal dunia) nanti pun payah," katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Bukit Cempedak di sini semalam.

Hasmah berkata, mahu tidak mahu dia terpaksa menadah air yang beraliran perlahan pada awal pagi dengan bantuan

anak bongsunya, Muhd. Riduan Md. Zanggi, 31, dan cucu saudara, Suriati Mahadi, 22, yang kerap menjenguknya.

Dia yang terpaksa bergerak dengan alat bantuan berjalan kerana keuzuran berkata, masalah gangguan air itu turut melibatkan sebahagian jiran-jirannya.

"Ramai jiran saya membeli tangki air sebagai jalan penyelesaian tetapi saya pula tidak mampu.

"Saya hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 sebulan dengan sebahagian besarnya digunakan untuk membeli lampin pakai buang dan ubat-ubatan," katanya.

No comments:

Post a Comment