Translate

Tuesday, November 10, 2020

Peneroka Felda rayu bantuan kerajaan tebus pajakan tanah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Peneroka Felda Terengganu merayu campur tangan kerajaaan untuk menebus semula Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) hampir 350,000 hektar tanah rancangan di seluruh negara daripada FGV Holding Berhad (FGV).

Ketua Peneroka Gabungan Peneroka Felda Wilayah Terengganu, Ghozali Mamat berkata, pihaknya percaya cadangan pengambilalihan semula tanah tersebut mampu menstabilkan semula kedudukan kewangan Felda Holding Berhad (Felda) sekali gus menjamin masa depan peneroka di seluruh negara.

“Sehubungan itu, kami mewakili 7,458 peneroka dari 20 tanah rancangan di seluruh Terengganu menyokong hasrat pengurusan kanan Felda untuk mengambil semula tanah yang kini telah dipajak kepada FGV.

“Hasil Felda merosot teruk kepada hanya kira-kira RM200 juta setahun sejak pengambilalihan tersebut pada tahun 2012 berbanding mencecah RM1 bilion sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ghozali berkata, kemelut kewangan Felda akibat kekurangan hasil pendapatan itu telah memberi kesan besar yang menggugat kebajikan peneroka di seluruh negara.

Jelasnya, kesan paling ketara terjadi selepas peralihan kerajaan pada tahun 2018 yang menyebabkan Felda bukan sahaja tidak mampu memberi bantuan sara hidup peneroka malah beberapa pembayaran kos operasi telah tertunggak sehingga enam bulan.

Kosmo! hari melaporkan FGV secara dasar tidak menentang hasrat penebusan tanah tersebut asalkan Felda mengeluarkan notis mengenainya dan syarat-syarat terkandung dalam LLA berkenaan sebelum ini dipatuhi. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment