SETIU - Bagai jatuh ditimpa tangga.
Mohd. Paizal Muhmad, 38, yang menderita penyakit kaki membengkak sejak dua tahun lalu hilang punca pendapatan apabila diberhentikan kerja sebagai pemandu bot pelancong.
Tambah memeritkan kesihatan isterinya, Rozilah Abdullah, 41, pula semakin merosot kerana diabetes kronik.
Mohd. Paizal berkata, dia diberhentikan kerja sebagai pemandu bot pelancong di Pulau Langkawi dengan pendapatan bulanan kira-kira RM2,000 pada pertengahan bulan Jun lalu.
Dia terpaksa membawa isteri dan dua anaknya yang berusia 9 dan 14 tahun berpindah di rumah pusaka peninggalan keluarga mertuanya di Kampung Bukit Layat di sini selepas kehilangan punca pendapatan tersebut.
"Kaki saya terutama di sebelah kiri membengkak sejak dua tahun. Pegawai perubatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi mengatakan ia bukan untut sebaliknya mengesyaki berpunca daripada jangkitan kuman.
"Kalau dulu sakit-sakit pun saya gagahkan diri juga bekerja sebagai pemandu bot pelancong tetapi sukar mendapat pekerjaan baharu. Kaki pula makin membengkak jika terlalu aktif," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Layat di sini semalam.
Mohd. Paizal berkata, dia juga tidak mampu untuk mendapatkan rawatan susulan penyakit kakinya di hospital lantaran kesempitan hidup sebaliknya hanya ke klinik kesihatan sahaja.
Tambahnya, keadaan penyakit diabetes Rozilah semakin berlarutan hingga isterinya itu kerap dimasukkan ke hospital sejak akhir-akhir ini.
"Kehidupan kami sekeluarga sekarang bergantung kepada bantuan Jabatan Kemajuan Masyarakat sebanyak RM350 sebulan yang baru diluluskan dua bulan lalu," katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan di akaun Bank Simpanan Nasional milik Mohd. Paizal bernombor 1140041100029816 atau menghubunginya di talian 0147362839.
No comments:
Post a Comment