Translate

Sunday, November 15, 2020

Kerajaan jamin barangan keperluan cukup sepanjang musim tengkujuh

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kerajaan memberi jaminan barangan keperluan bukan sahaja mencukupi malah harganya juga akan dikawal sepanjang musim tengkujuh ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, persiapan rapi telah dibuat membabitkan pelbagai kementerian terlibat termasuk KPDNHEP.

“Rakyat tidak perlu bimbang, KPDNHEP menjalin hubungan rapat dengan kementerian lain seperti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menghadapi banjir.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi sepanjang musim tengkujuh manakala KPDNHEP pula mengawal harganya tidak melambung tinggi,” katanya selepas melakukan pemantauan harga di sebuah pasar raya besar di Gong Badak di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Rosol memberitahu KPDNHEP juga membenarkan pemborong dan peruncit terpilih di kawasan sering dilanda banjir untuk menyimpan stok barangan keperluan lebih daripada kebiasaan.

Jelas beliau, pendekatan itu bertujuan memastikan barangan keperluan tidak terputus di sesuatu kawasan sekiranya berlaku kejadian banjir luar jangka.

“Pemborong dan peruncit terpilih berkenaan boleh menyimpan sehingga 30 peratus stok barangan keperluan melebihi kebiasaan sepanjang musim tengkujuh ini,” ujarnya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment