Oleh MOHD AZLI ADLAN
HULU TERENGGANU – Seorang penternak lembu yang sedang mencari haiwan ternakannya terkejut dengan penemuan satu mayat sudah reput di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Cherang Nibung, Ajil di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, lelaki berusia 50 itu menjumpai mayat lelaki yang dipercayai sudah meninggal dunia sejak tiga minggu lalu berkenaan di tempat duduk pemandu kenderaan empat roda, Nissan Navara.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, pemeriksaan awal percaya mayat itu milik seorang lelaki berusia 31 tahun yang dikehendaki polis pada tiga minggu lalu.
“Si mati disyaki melarikan kenderaan pacuan empat roda milik abang iparnya di hadapan Balai Polis Ajil di sini.
“Sebelum itu, dia dibawa abang iparnya untuk menyerah diri kepada polis kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Mohd. Adli berkata, perbuatan si mati melarikan kenderaan pacuan empat roda abang iparnya menyebabkannya diburu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, si mati ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap dan dompet abang iparnya juga ditemui di dalam kenderaan pacuan empat roda tersebut.
“Mayat si mati dibawa ke Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat.
“Punca kematian masih belum diketahui dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment