Translate

Saturday, November 7, 2020

Jangan laku pembelian panik

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembelian panik ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang berkuatkuasa lusa.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, bekalan makanan dan keperluan dijamin mencukupi sepanjang tempoh PKPB selama sebulan itu.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini berlaku pembelian panik dalam kalangan pengguna ketika fasa awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada pertengahan bulan Mac lalu.

“Begitupun ia (pembelian panik) semakin berkurangan selepas masyarakat menyedari tidak berlaku kekurangan bekalan makanan dan keperluan di pasaran seperti dikhuatiri. Saya harap pengguna ambil pengajaran,” katanya di sini hari ini.

Rosol berkata, pasukan penguat kuasa kementerian juga akan sentiasa memantau agar tidak peniaga yang mengambil kesempatan sepanjang tempoh PKPB berkenaan.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang menaikkan harga dan menyorokkan barangan.

“Pengguna juga boleh menyalurkan maklumat kami agar tindakan dapat diambil segera,” katanya.

Terdahulu Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang berkuatkuasa 9 November hingga 6 Disember ini. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment