Translate

Sunday, November 15, 2020

Saji nasi beriani kambing bungkus untuk tetamu

KUALA TERENGGANU - Sebuah keluarga di daerah ini mempunyai cara  tersendiri untuk merayakan Deepavali yang diraikan dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

M. Ramachandran, 71, berkata, dia sekeluarga yang menetap di Flat Kolam di sini mengambil inisiatif membungkus nasi beriani kambing untuk diberikan saudara-mara, jiran dan sahabat yang berkunjung ke rumahnya.

Menurut lelaki itu, dia sekeluarga tidak dapat menerima ramai tetamu disebabkan prosedur operasi standard (SOP) PKPB memandangkan rumahnya yang berkeluasan 13.56 meter persegi dihadkan 10 orang sahaja pada satu-satu masa.

"Ahli keluarga sahaja sudah tujuh orang. Jadi kami hanya berbual di depan rumah sebelum memberikan mereka (tetamu) nasi beriani kambing untuk dimakan di rumah masing-masing.

"Selain itu, saya juga menerima banyak ucapan daripada saudara-mara dan sahabat handai melalui panggilan telefon,"  katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Ramachandran memberitahu, walaupun agak terkilan berikutan kemeriahan Deepavali kali ini agak terencat, namun dia sekeluarga akur demi memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan.

Pada tahun ini, dia dan isterinya, M. Pusparani, 60, menyambut Deepavali bersama tiga daripada empat anaknya termasuk anak sulungnya, Muhammad Syafiq Suresh, 41, yang telah memeluk Islam sejak 18 tahun lalu.

"Hanya anak ketiga saya yang menetap di Melaka tidak dapat menyambut Deepavali kerana tidak boleh merentas negeri disebabkan PKPB," katanya.

Sementara itu, Muhammad Daniel Hafiz Naharaja, 36, berkata, dia tetap menyambut pesta cahaya itu bersama Ramachandran yang merupakan bapa sahabatnya, Muhammad Syafiq Suresh.

"Biarpun hanya (berkunjung) di luar rumah, ia sudah memadai. Tak sangka pula saya pulang dengan dibekalkan nasi beriani kambing," katanya.

No comments:

Post a Comment