Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA NERUS – Tindakan pantas seorang jiran berjaya menyelamatkan seorang remaja perempuan yang terperangkap di dalam rumahnya yang sedang marak terbakar di Kampung Sungai Ikan, Tepoh di sini hari ini.
Kejadian pukul 3.30 petang itu memusnahkan dua buah rumah dan sebuah kedai kek dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan lebih RM250,000.
Seorang mangsa, Mohamad Hisyam Mokhtar, 35, berkata, sewaktu kejadian dia dan isterinya, Umi Kalsom Endut, 34, sedang berehat di ruang tamu sebelum terhidu bau asap tebal dari rumah sebelah.
“Saya dan isteri segera keluar menyelamatkan diri sebelum perasan anak perempuan jiran sebelah (Nai Zatul Akma Mizan Sakri, 17) masih terperangkap di dalam rumahnya.
“Saya segera memecahkan pintu rumahnya dengan menendang sebelum menyuruh anak jiran saya itu keluar segera,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu, Nai Zatul Akmal yang merupakan pelajar Kolej Vokasional Wakaf Tembusu di sini berkata, dia berseorangan di dalam rumah manakala ahli keluarganya yang lain sedang menguruskan kedai makan di Padang Air di sini.
“Saya yang berada di dalam bilik tidur terdengar bunyi letupan pada meter elektrik di ruang tamu.
“Saya segera keluar bilik sebelum nampak percikan api menyambar dinding berhampiran pintu rumah menyebabkan saya sukar menyelamatkan diri dan menjadi panik,” katanya.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Muhammad Basri Kamarulzaman berkata, tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus dan Kuala Terengganu bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat pada pukul 3.42 petang.
Beliau berkata, sewaktu tiba di deretan premis milik Pondok Inayah II tersebut, dua rumah telah musnah terbakar 100 peratus manakala premis kedai kek pula sedang terbakar 70 peratus.
“Api kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh lapan minit. Semua mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala kedai roti yang turut terjejas tidak beroperasi hari ini (semalam).
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment