Translate

Tuesday, July 10, 2018

TFC I nekad balas dendam terhadap Kuala Lumpur

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD Terengganu Football Club I (TFC I) mahu menjadikan pertemuan dengan Kuala Lumpur pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini sebagai medan untuk membalas dendam.

Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim (gambar) berkata, anak-anak buahnya mahu menebus kembali kekalahan memalukan terhadap skuad Warga Kota tersebut pada aksi pertama Liga Super di gelanggang lawan, Mei lalu.

“Tewas 0-3 kepada Kuala Lumpur pada Mei lalu telah menjadi pengajaran besar kepada TFC I. Kami sudah pasti mahu mene­bus kehampaan tersebut de­ngan tidak mengulangi kesilapan sama pada aksi malam esok (malam ini).

“Saya pasti barisan serangan TFC I yang dikemudi kapten pa­sukan, Tchetche Kipre sudah bersedia untuk merobek gawang Kuala Lumpur seawal mungkin bagi menjamin tiga mata penting pada perlawanan tersebut,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Irfan berkata, beliau mengingatkan anak-anak buah­nya agar tidak mensia-siakan sebarang peluang terhidang terutama pada situasi bola mati bagi mencapai kemenangan berharga.

Dalam perkembangan sama, jurulatih berpengalaman tersebut memberitahu, TFC I tidak dapat menurunkan pemain pertahanan kental mereka, Muhammad Kamal Azizi Mohd. Zabri pada aksi terbabit.

Menurutnya, pemain berusia 24 tahun itu me­ngalami penggantungan satu perlawanan selepas me­nerima kad kuning ketiga pada aksi menentang Ne­geri Sembilan minggu lalu.

No comments:

Post a Comment