Translate

Thursday, July 19, 2018

Sedia taja tangan palsu untuk Nur Zulaikha

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu bersedia menaja sepenuhnya pemasangan tangan palsu buat seorang kanak-kanak yang putus tangan kirinya akibat tersepit pada rim motosikal dalam kejadian Khamis lalu.

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib yang me­nimpa Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli, 7, yang kehilangan anggota penting itu dalam ­kemalangan tersebut.

“Sumbangan pemasangan tangan palsu tersebut diharap dapat membantu dia untuk meneruskan kehidupan se­perti biasa selepas ini,” kata­nya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Semalam Kosmo! melaporkan Nur Zulaikha kehilangan ta­ngan kiri sehingga paras bahu akibat tersepit pada rim motosikal yang ditunggang sepupunya di Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payong, Marang.

Kejadian pada pukul 9.30 malam itu dipercayai berlaku selepas baju sejuk bersaiz dewasa yang dipakai mangsa tersangkut pada rim motosikal tersebut.

Menurut Ahmad Samsuri, beliau berharap keluarga kanak-kanak itu tabah meneri­ma ujian tersebut dan tidak putus-putus untuk memberi semangat kepada mangsa agar terus cekal menghadapi kehidupannya yang masih panjang.

Sementara itu, bapa Nur Zulaikha, Zulkifli Mohamad, 38, berkata, pakar perubatan memberitahu, keputusan tahap kecederaan tangan kiri anak sulungnya tersebut dijang­ka diketahui hari ini.

“Doktor beritahu balutan luka tangan kiri anak saya yang putus akan dibuka esok (hari ini). Keputusan sama ada dia boleh memakai ta­ngan palsu juga akan diketahui pada hari sama,” ­katanya.

No comments:

Post a Comment