Translate

Sunday, July 22, 2018

Dua lagi negeri sokong Anwar

Oleh ZULKIFLI MANZOR, AZLI ADLAN dan SYALMIZI HAMID

SEBERANG PERAI – Keputusan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menawarkan diri sebagai calon Presiden PKR bagi pemilihan parti itu September ini terus mendapat sokongan beberapa PKR negeri.

PKR Pulau Pinang dan PKR Negeri Sembilan menjadi dua negeri terbaru yang bersetuju dan menyokong keputusan Anwar untuk kembali aktif dalam dunia politik.

Sejak menawarkan diri bertanding kerusi nombor satu PKR, enam pimpinan negeri sudah menyatakan sokongan kepada Anwar antaranya PKR Terengganu, Johor, Perlis dan Kelantan.


Di Pulau Pinang, Pengerusi PKR negeri, Datuk Mansor Othman berkata, ahli-ahli parti berkenaan telah lama menanti Anwar untuk kembali mengemudi parti dan seterusnya me­mimpin negara. 
“Kepimpinan beliau diyakini boleh memantapkan parti bagi menghadapi cabaran dalaman mahupun luaran,” katanya semalam.

Sementara itu, di Negeri Sembilan, PKR negeri itu turut  menyambut baik hasrat Anwar menawarkan diri bertanding jawatan Presiden PKR.

Pengerusinya, Aminuddin Harun berkata, PKR Negeri Sembilan sangat yakin dan percaya bahawa Anwar layak memegang jawatan tersebut berdasarkan jasa dan pengorbanan beliau kepada parti, rakyat dan negara.

Sementara itu, di Terengganu, kepimpinan PKR negeri mencadangkan agar jawatan Presiden tidak dipertandingkan untuk memberi laluan kepada Anwar.

Ahad lalu, Anwar bersetuju menawarkan diri merebut kerusi Presiden selepas berbincang dan dipersetujui dengan iste­rinya yang juga Presiden ketika ini, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

No comments:

Post a Comment