Translate

Tuesday, July 3, 2018

TFC I mahu bangkit amuk Negeri Sembilan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU Football Club I (TFC I) berazam untuk kembali bangkit de­ngan menewaskan Nege­ri Sembilan pada aksi Liga Super di Stadium­ Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim berkata, beliau mahu anak-anak buahnya melupakan kekecewaan tumpas 0-2 kepada pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) di gelanggang lawan minggu lalu.

“Kekalahan itu harus jadi pengajaran dan ia perlu ditebus dengan menewaskan Negeri Sembilan di depan penyokong sendiri malam esok (ini).

“Mereka (pemain TFC I) tidak seharusnya me­ngulangi kesilapan iaitu tidak fokus dan beraksi seperti sekadar ‘penonton’ terutama sewaktu menerima asakan bertubi-tubi pemain-pemain JDT pada aksi sebelum ini,” katanya kepada Kos­mo! semalam.

Irfan Bakti berkata, kemenangan sangat penting pada perlawanan menentang Negeri Sembilan bagi mengutip tiga mata penuh untuk mengembalikan motivasi pemain serta mengukuhkan kedudukan dalam carta liga.

Begitupun, pengendali berpengalaman itu mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak terlalu memandang rendah kemampuan lawan meskipun skuad Hoben Jang Hoben berada dalam kelompok bawahan liga.

“Negeri Sembilan ken­dalian ketua jurulatih baharu, Mario Lemos berbeza dengan skuad sama yang tumpas dengan TFC I, 1-2 di Stadium Paroi, Seremban pada aksi pu­singan pertama lalu.

“Apa pun, saya lega dan gembira kerana boleh menurunkan barisan terbaik pada perlawanan malam esok (ini). Ke­semua pemain utama saya bebas daripada kecede­raan dan penggantungan,” katanya.

No comments:

Post a Comment