Translate

Thursday, July 5, 2018

Tempurung kepala Adam retak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN, MOHD. YUNUS YAKKUB dan NURUL KHAIRIAH MOHAMED YUSOF

SHAH ALAM – Bayi lelaki berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd. Sufi Naeif yang mayatnya ditemui di dalam peti sejuk di rumah seorang pengasuh di Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selayang disahkan mengalami pendarahan dalam otak dan keretakan pada tempurung kepala sebelah kiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, penemuan itu hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas bayi berkenaan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) di Hospital Kuala Lumpur bermula pukul 9.45 pagi hingga 1 petang semalam.

Katanya, keputusan be­dah­ siasat itu sekali gus menafikan kete­rangan yang diberikan oleh suspek warga tempatan sebelum ini yang mendakwa bayi tersebut tersedak susu.

“Hasil bedah siasat mendapati mayat bayi itu mempunyai kesan retakan pada tempurung kepala sebelah kiri dan pendarahan dalam otak.

“Kita masih menjalankan siasatan sama ada bayi itu dipukul, dihem­pas atau terjatuh semasa dalam jagaan pengasuh. Tiada sisa susu ditemui pada kerongkong mang­sa,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini semalam.

Menurut beliau, pe­meriksaan di lokasi kejadian juga tidak mene­mui sebarang senjata berkaitan kes berkenaan.

Justeru, Fadzil me­negaskan siasatan menyeluruh akan dijalankan termasuk berkemungkinan mangsa telah didera sebelum ditemui mati dan motif sebenar pembunuhan.

“Siasatan awal mendapati suspek berusia 33 tahun itu turut mengasuh dua lagi bayi lain, namun telah diserahkan kepada ibu bapa mereka pada petang hari tersebut.

“Sehubungan itu, siasatan akan diperluaskan kepada dua bayi tersebut sama ada mereka mempunyai sebarang kecederaan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang belum berkahwin te­lah menjadi penga­suh sejak dua tahun lalu dengan mempromosikan perkhid­matannya menerusi laman sosial Facebook.

Dalam kejadian lewat malam kelmarin, seorang bayi lelaki berusia lima bulan yang dilaporkan hilang selepas dikatakan dilarikan individu tidak dikenali telah ditemui mati di dalam rumah penga­suhnya di Taman Nakhoda, Batu Caves.

Mayat Adam Raykal ditemui di bahagian sejuk beku peti sejuk dua pintu itu kira-kira pukul 11 malam selepas polis mendapati terdapat keraguan pada keterangan penga­suh mangsa.

Ketika ditemui, bayi itu lengkap de­ngan pakaian dan dibalut kain lampin serta disumbat di dalam beg berwarna hijau.

Susulan kejadian itu, dua wanita termasuk pengasuh mangsa telah direman seminggu di Mahkamah Sesyen Sela­yang semalam bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment