Translate

Sunday, July 8, 2018

Dua termasuk budak lelaki maut, hajat jemput kakak di UiTM Dungun tidak kesampaian

MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD

DUNGUN - Dua termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas kereta Proton Wira yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 334.3, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Paka dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.40 pagi tersebut, Syed Namirun Putra Syed Khairul Hissham, 11, dan kawan bapanya,  Mohamad Nor Mohammad, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Bapa Syed Namirun Putra, Syed Khairul Hissham Md. Akhir, 45, yang tersepit di tempat duduk penumpang hadapan pula mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan untuk mengambil anak sulung Syed Khairul Hissham, Syarifah Filzatun Athirah, 20, di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dari Felda Karatong, Bandar Tun Razak, Pahang.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira yang dipandu Mohamad Nor tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi lebuh raya sehingga menyebabkannya berpusing beberapa kali.


"Impak daripada kemalangan itu menyebabkan pemandu, Mohamad Nor dan Syed Namirun Putra yang duduk di tempat duduk belakang tercampak keluar sejauh beberapa meter," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment