Translate

Saturday, July 7, 2018

Amanah kemuka calon Senator dari Terengganu, Kelantan isi kekosongan Kabinet

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Parti Amanah Nasional (Amanah) telah mencadangkan lima nama terdiri daripada pemimpin-pemimpin parti tersebut dari Terengganu dan Kelantan sebagai antara calon Ahli Dewan Negara sekali gus dilantik untuk mengisi kekosongan yang masih ada dalam Kabinet.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, parti tersebut yang kini mempunyai lima menteri dan empat timbalan menteri di dalam Kabinet dijangka bakal diberi sekurang-kurangnya satu lagi kuota jawatan Timbalan Menteri oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, kesemua calon yang dikemukakan oleh Amanah tersebut bukan terdiri daripada Ahli Parlimen dan sesiapa yang terpilih perlu dilantik sebagai Senator sebelum boleh menganggotai Kabinet.

"Kita telah mengesyorkan beberapa nama daripada dua negeri ini (Terengganu dan Kelantan) dan terserah kepada Perdana Menteri (Mahathir) untuk membuat pertimbangan," katanya pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran Amanah Terengganu di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, kesemua calon Pakatan Harapan termasuk Amanah seperti Naib Presiden Amanah, Husam Musa dan Pengerusi Amanah Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah tewas di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Kelantan dan Terengganu.


Kosmo! 3 Julai lalu melaporkan Mahathir memberitahu, tiga lagi menteri dalam kalangan Ahli Dewan Negara akan dilantik dalam Kabinet bagi menjadikan keseluruhan 29 menteri berbanding 26 yang sudah diisi pada masa ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment