Translate

Saturday, July 7, 2018

Terengganu miliki 32,411 ibu tunggal

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Bilangan ibu tunggal di Terengganu kini mencecah 32,411 orang termasuk 6.29 peratus daripadanya berusia di bawah umur 30 tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, berdasarkan perangkaan bulan lalu, seramai 28 ibu tunggal terbabit berumur bawah 20 tahun manakala 2,010 orang pula berusia dalam lingkungan 21 hingga 30 tahun.

“Seramai 4,783 ibu tunggal pula berusia 31 hingga 40 tahun, 6,506 orang (41 hingga 50 tahun), 9,556 orang (51 hingga 60 tahun) dan 9,528 orang (61 tahun ke atas).

“Daerah Kemaman merekodkan bilangan ter­tinggi ibu tunggal de­ngan 5,279 orang diikuti Besut (4,768), Marang (4,305), Dungun (4,182), Kuala Terengganu (3,925), Kuala Nerus (3,658), Setiu (3,307) dan Hulu Terengganu (2,987),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Alias Harun (Pas-Rantau Abang) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14 di sini semalam.

Hanafiah berkata, sebahagian besar wanita di negeri ini menjadi ibu tunggal akibat kematian suami dan bakinya disebabkan penceraian.

Beliau berkata, sebanyak kira-kira 59 peratus ibu tunggal di negeri ini berusia dalam lingkungan 50 tahun ke atas dan kebanyakannya disebabkan kematian suami.

“Hanya 6.29 peratus daripada ibu tunggal itu berusia di bawah 30 tahun. Ada pelbagai sebab penceraian tetapi kebanyakan alasan diberikan ialah tidak mempunyai kesefahaman,” katanya.

Sementara itu, Hanafiah berkata, sebuah kompleks ibu tunggal yang menelan belanja RM4.4 juta akan beroperasi di Chendering dekat sini dalam masa terdekat bagi melancarkan program memperkasakan golongan terbabit.

“Kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu memperuntukkan RM474,000 untuk membantu 52 ibu tunggal terpilih dalam program Pinjaman Jaya Diri.

“Kebanyakan peserta program itu menceburi bidang perniagaan berasaskan kecantikan, pakaian dan perusahaan makanan,” katanya.

Sementara itu, ketika mengulas isu ibu tungggal itu, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd. memberitahu, secara purata, sebanyak 10 permohonan penceraian direkodkan di seluruh Terengganu dalam masa sehari.

Menurutnya, kebanyakan permohonan itu membabitkan pasangan berumur 30 hingga 50-an dan tidak boleh dinafikan ia turut menyumbang kepada jumlah ibu tunggal di negeri ini.

“Namun, kadar itu bukanlah tertinggi di peringkat nasional. Angka tersebut (penceraian) tidak serius tetapi perlu ditangani secara serius kerana melibatkan keruntuhan sistem kekeluargaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment