Translate

Thursday, July 26, 2018

EPIC raih hasil RM273 juta

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN – Loji jana kuasa tenaga solar milik syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu, Eastern Pasific Industrial Corporation Bhd. (EPIC) mula beroperasi secara rasmi semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Noor Fadzil Mohamed Nor berkata, loji jana kuasa terbesar di negara ini memiliki kapasiti sehingga 18.5 megawatt (MW).

Ia dibina di tapak berkeluasan 28.35 hektar di Teluk Kalong di sini.

Menurut Noor Fadzil, projek itu dibangunkan bersama firma swasta tempatan, MIE Industrial Sdn. Bhd. dengan kos sebanyak RM86 juta.

“Tenaga solar yang terhasil dari loji berkenaan akan disalurkan ke dalam sistem Rangkaian Grid Nasional Tenaga Nasional Bhd. (TNB) untuk tempoh 21 tahun.

“Sepanjang tempoh perjanjian yang akan berakhir sehingga tahun 2039 itu, EPIC menyasarkan untuk menjana pendapatan sebanyak RM273 juta atau kira-kira RM13 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pelancaran loji jana kuasa tenaga solar itu di Teluk Kalong di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Noor Fadzil menjelaskan, penglibatan EPIC dalam industri bekalan tenaga baharu secara besar-besaran di wilayah Pantai Timur merupakan salah satu strategi syarikat untuk mempelbagaikan sumber pendapatan.

Ia juga bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada perniagaan berasaskan minyak dan gas.

Menurut beliau, projek penjanaan tenaga solar berkenaan diharap bukan sahaja dapat memberi impak positif kepada ekonomi negeri Terengganu secara berte­rusan tetapi turut merancakkan pembangunan Kawasan Perindustrian Teluk Kalong di sini.

“Penjanaan tenaga solar ini juga dapat memberi manfaat kepada pengguna domestik dan komersial di sekitar daerah ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment