Translate

Wednesday, July 25, 2018

Constant buka 10 outlet baharu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Syarikat bio­teknologi tempatan, Bio­alpha Holdings Bhd. (Bioalpha) menyasarkan untuk membuka 10 lagi cawangan farmasi Constant di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi Bioalpha, Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata, sehingga kini, syarikat memiliki sebanyak 20 farmasi Constant untuk memasarkan produk keluaran syarikat itu yang berjenama Apotec dan Nushine yang dibuka secara francais di seluruh negara termasuk tiga di Terengganu.

Menurutnya, sebanyak 50 pe­ratus daripada pasaran produk Bioalpha yang diperbuat daripada herba tradisional itu ditawarkan untuk pasaran domestik, manakala selebihnya 25 peratus di Indonesia, China (20 peratus) dan lain-lain negara (lima peratus).

“Kami mempunyai 300 produk suplemen seperti penjagaan kecantikan, kulit dan obesiti dan peningkatan imuniti badan yang mana sebahagian daripada bahan asasnya diperoleh dari dua buah taman herba di Pasir Raja dekat sini dan di Desaru, Johor.

“Tanaman herba tradisional yang memiliki keluasan sehingga 528.12 hektar itu ditanam dengan tongkat ali, kacip fatimah, betik sekaki, misai kucing, dukung anak, roselle, hempedu bumi dan ia kini mula dituai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pembukaan Taman Herba Pasir Raja dekat sini semalam.

Majlis tersebut telah di­sempurnakan Sultan Terengga­nu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Abdul Rahman menjelaskan, sehingga kini, taman herba Pasir Raja dan Desaru tersebut telah mengeluarkan sebanyak 300 met­­rik tan herba tradisional setahun dan ia digunakan sebagai bahan asas produk Bioalpha.

Tambah beliau, syarikat me­nyasar untuk mengoptimumkan lagi baki tanah kosong di kedua-dua taman herba itu.

Katanya, ini sekali gus me­ningkatkan hasil tuaian sehingga 2,000 metrik tan setahun menjelang tahun 2020.

“Bioalpha turut menjalin kerjasama dengan Wilayah Eko­­nomi Pantai Timur untuk membantu seramai  30 petani kontrak dalam kalangan penduduk setempat di Pasir Raja bagi membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

“Hasil tanaman herba terbabit akan dijual kepada Bioalpha, penghasilan sendiri bahan asas membolehkan kami menjimatkan kos operasi,” katanya.

No comments:

Post a Comment