Translate

Friday, July 27, 2018

Ambilan pertama staf Hospital UniSZA tahun depan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini yang sedang giat dalam pembinaan bakal memulakan pengambilan pertama kakitangan pada pertengahan tahun depan.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif berkata, pengambilan perintis kakitangan hospital itu melibatkan 70 orang meliputi pelbagai perjawatan termasuk staf sokongan seperti doktor perubatan, doktor siswazah, jururawat, paramedik, pengawal keselamatan dan jurulandskap.

“Jabatan Perkhidmatan Awam telah memberi arahan agar memulakan pengambilan kakitangan bagi Hospital Pengajar UniSZA yang dijangka diisi sebahagian besarnya oleh penduduk setempat pada Julai 2019.

“Pembinaan Hospital Pengajar UniSZA yang bermula pada 21 Mac 2016 kini telah siap 25 peratus. Walaupun setakat ini, kemajuannya lewat dua hari tetapi kita yakin ia dapat disiapkan sepenuhnya mengikut jadual asal iaitu pertengahan tahun 2020,” katanya selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Staf UniSZA di sini semalam.

Antara penerima anugerah kecemerlangan pada majlis yang turut dihadiri Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Mohd. Yusof Noor ialah Prof. Dr. Che Abdullah Abu Bakar dari Fakulti Biosumber dan Industri Makanan atas sumbangannya terlibat dalam penyelidikan pembuatan nasi dagang sejuk beku yang kini telah dikomersialkan termasuk pasaran Britain dan Australia.

Ahmad Zubaidi berkata, Hospital Pengajar UniSZA yang menelan kos pembinaan kira-kira RM600 juta bakal mempunyai 200 katil dan berkonsepkan Smart Hospital iaitu diintegrasi dengan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi.

Berdasarkan kapasiti hospital terbabit, seramai hampir 2,000 kakitangan daripada pelbagai perjawatan diperlukan.

No comments:

Post a Comment