Translate

Thursday, July 12, 2018

LPT2 ragut dua nyawa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD

DUNGUN – Dua termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun terbunuh selepas kereta Proton Wira yang dinaiki mereka terlibat dalam kemala­ngan di Kilometer 334.3, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Paka dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 11.40 pagi, Syed Namirun Putra Syed Khairul Hissham, 11, dan kawan bapanya,  Mohamad Nor Mohammad, 28, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mereka mengalami kecede­raan parah di kepala dan beberapa anggota badan.

Bapa Syed Namirun Putra iaitu Syed Khairul Hissham Md. Akhir, 45, yang tersepit di tempat duduk penum­pang hadapan pula me­ngalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan­ Baharudin Abdullah ber­kata, sewaktu kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan untuk mengambil anak sulung Syed Khairul Hissham iaitu Syarifah Filzatun Athirah, 20, di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dari Felda Karatong, Bandar Tun Razak, Pahang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira yang dipandu Mohamad Nor hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi lebuh raya sehingga menyebabkan kenderaan itu berpusing beberapa kali.

“Impak daripada kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta, Mohamad Nor dan Syed Namirun Putra yang duduk di tempat duduk belakang tercampak keluar sejauh beberapa meter,” kata beliau di sini semalam.
Menurut beliau, sepa­sukan anggota bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan Syed Khairul Hissham yang tersepit di tempat duduk penumpang hadapan.

Baharudin berkata, ma­yat Mohamad Nor dan Syed Namirun Putra dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk dibedah siasat manakala Syed Khairul Hissham yang cedera parah pula  mendapat rawatan di unit kecemasan hospital sama dan kea­daannya dilaporkan stabil.
Sementara itu, Syarifah Filzatun Athirah yang merupakan pelajar tahun akhir Diploma Pengurusan Hotel berkata, bapanya yang berkhidmat di Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Muazzam Shah dan adiknya me­numpang kereta rakan keluarga mereka iaitu Mohamad Nor untuk menjemputnya yang baru habis menduduki kertas peperiksaan akhir semester di UiTM Dungun.

“Mereka dari rumah di Felda Keratong 9, Bandar Tun Razak mahu menjemput saya.

“Beberapa jam sebelum kemalangan, ayah (Syed Khairul Hissham) ada menghubungi saya dan memberitahu mereka telah sampai di Plaza Tol Gambang, Kuantan, Pahang,” kata gadis ber­kenaan ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Dungun.

Bagaimanapun, menurut Syarifah Filzatun Athirah, dia sangat terkejut apabila ayahnya menghubunginya pada pukul 12 tengah hari untuk memaklumkan mereka terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawa adik dan rakan ayahnya itu.

No comments:

Post a Comment