Translate

Tuesday, July 17, 2018

APMM mahu kemuka bantahan diplomatik atas pencerobohan nelayan Vietnam

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Maritim Malaysia (APMM) bercadang untuk mengemukakan bantahan diplomatik berhubung pencerobohan nelayan Vietnam yang semakin menjadi-jadi di perairan negara sejak akhir-akhir ini kepada Kesatuan Eropah (EU) pada masa terdekat.

Ketua Pengarah APMM, Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata, surat bantahan yang akan dikemukakan kepada EU pada masa terdekat itu akan mencadangkan agar produk hasil laut dari negara jiran tersebut dikenakan 'kad merah' iaitu pelarangan eksport ke negara-negara Eropah.

Beliau berkata, sebelum ini, EU telah mengenakan 'kad kuning' kepada Vietnam sebagai amaran berikutan tindakan nelayan negara itu melakukan pencerobohan ke perairan negara-negara asing termasuk Malaysia pada Oktober tahun lalu.

"APMM berpendapat Vietnam patut dikenakan 'kad merah' oleh EU kerana pihak berkuasa Vietnam tidak cukup berusaha untuk mengatasi masalah pencerobohan tersebut. Setakat 15 Julai lalu (Ahad lalu), sebanyak 78 bot nelayan negara jiran itu berjaya ditahan kerana menceroboh perairan negara meliputi Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

"Sepucuk surat penjelasan juga telah dihantar APMM kepada pihak berkuasa Vietnam pada Sabtu lalu setelah radar mengenalpasti lebih 200 bot nelayan negara itu telah menceroboh perairan negara pada cuti Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini," katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Terengganu di sini hari ini.


Zulkifli berkata, pencerobohan nelayan Vietnam tersebut serius kerana berdasarkan statistik, APMM telah berjaya menahan 690 bot nelayan negara tersebut yang mengakibatkan kehilangan hasil laut negara sekurang-kurangnya RM6 bilion setahun sejak tahun 2006. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment