Translate

Wednesday, July 4, 2018

3 pasukan khas PDRM dimansuh

Oleh MOHD. AZLI ADLAN, RIDZAUDDIN ROSLAN dan AFIQ AL-HAFIZ MAT YUSOF

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang membubarkan beberapa pasukan khas dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai langkah penstrukturan semula badan tersebut.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketika ini, pihaknya sudah mendengar taklimat daripada PDRM berhubung cadangan penambahbaikan struktur jabatan-jabatan di bawah agensi itu.

“Susulan itu, ada beberapa pasukan khas yang ditubuhkan sebelum ini bakal dibubarkan dan pengumumannya akan dibuat dalam masa dua minggu dari sekarang.

“KDN tidak mahu terlalu tergesa-gesa mengumumkan perkara tersebut berikutan mahu meneliti terlebih dahulu cadangan yang dikemukakan,” kata beliau selepas menghadiri Majlis Aidilfitri Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini semalam.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Menurut beliau, taklimat pertama penstrukturan tersebut bukan sahaja memfokuskan kepada susunan semula semua pasukan khas dalam PDRM sebaliknya turut melibatkan bahagian perjawatan.

“Kita mahu hasil daripada penstrukturan semula berkenaan dapat meningkatkan imej PDRM seterusnya mewujudkan anggota polis yang berhemah, bermaruah serta berintegriti,” jelasnya.

Sementara itu, Fuzi pula berkata, rombakan berkenaan akan diperhalusi dalam tempoh terdekat menerusi garis panduan yang telah diberikan.

“Kita akan sediakan laporan dalam tempoh terdekat dan mungkin ia akan memerlukan masa lebih dari dua minggu,” kata beliau.

Fuzi memberitahu, antara pasukan berkemungkinan besar akan dimansuhkan ialah Pasukan Taktikal Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG), Pa­sukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC).

Ketiga-tiga pasukan khas tersebut diwujudkan di bawah pucuk pimpinan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. STAGG, STING dan STAFOC dikelaskan sebagai pasukan elit dalam PDRM membanteras jenayah-jenayah berprofil tinggi di seluruh negara.

Sementara itu, di Setiu, Terengganu, Pengarah Pengurusan PDRM Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Ghafar Rajab menolak desas-desus berhubung rombakan sama ada melibatkan perjawatan ter­tinggi mahupun struktur jabatan polis dalam masa terdekat.

“Setakat ini, saya sebagai Pengarah Pengurusan PDRM Bukit Aman tidak menerima arahan daripada Ketua Polis Negara atau KDN berhubungan rombakan itu.

“Saya tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan jika ada arahan kerana ia memang tugas Jabatan Pengurusan PDRM,”  kata beliau selepas merasmikan kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu di sini semalam.

No comments:

Post a Comment