Translate

Tuesday, July 10, 2018

APMM rampas 4.5 tan ikan, sotong

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan dua bot nelayan Vietnam dan merampas 4.5 tan hasil laut dalam dua operasi di perairan negeri ini pada Sabtu lalu.
Dalam operasi bermula pukul 7.40 malam itu, pihak berkuasa turut menahan 19 awak-awak dan dua tekong di dua lokasi berasingan iaitu pada kedudukan 33 dan 39 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, siasatan mendapati kedua-dua bot nelayan Vietnam itu dipercayai baru selesai menangkap ikan secara haram dengan menggunakan pukat tunda gading.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemui satu tan ikan pelbagai jenis seperti ikan kerisi dan ikan putih, satu tan ikan baja, 2.5 tan sotong dan 10 liter minyak diesel.

“Kesemua rampasan termasuk peralatan menangkap ikan dianggarkan mencecah nilai RM2.4 juta,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini semalam.

Rahim berkata, 19 awak-awak dan dua tekong yang ditahan berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun dan hasil pemeriksaan, mendapati mereka tidak mempunyai permit kerja dan dokumen perjalanan yang sah.

“Siasatan juga mendapati kedua-dua bot nelayan asing itu tidak mendapat kebenaran daripada Jabatan Perikanan untuk menangkap ikan di perairan negara ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sejak awal tahun ini, sebanyak 40 kes pencerobohan bot nelayan Vietnam direkodkan di perairan Terengganu manakala di perairan Pahang pula sembilan kes.

“APMM Wilayah Timur telah mengadakan rondaan penguatkuasaan di tiga zon iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan bagi mengurangkan pencerobohan nelayan asing.

“Berdasarkan maklum balas, kebanyakan nelayan Vietnam gemar memasuki perairan Terengganu kerana mudah untuk menangkap sumber ikan berkualiti terutama di persekitaran 156 pelantar minyak,” katanya.

No comments:

Post a Comment