Translate

Wednesday, December 25, 2024

Rugi besar akibat banjir

Oleh MOHD AZLI ADLAN, NORLIDA AKMAR IDROS, ROSALWANI CHE SOH dan AIMUNI TUAN LAH

PASIR PUTEH – Hampir ke­semua penduduk di daerah ini pasrah apabila kerugian lebih RM10,000 walaupun sudah bersiap siaga berdepan banjir bagi menge­lakkan harta benda dan kediaman mereka rosak. 

Norhasram Mohamad, 57, berkata, dia mengalami kerugian lebih RM10,000 apabila kediamannya dinaiki air selepas Kampung Bharu di sini dilanda hujan lebat pada 27 November lalu. 

Katanya, melihat kea­daan itu, dia dan ahli keluarganya segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dengan membawa dokumen pen­ting selepas air naik mencecah 0.5 meter. 

“Semua barangan hanyut manakala perabot dan peralatan elektrik pula tenggelam. Tiga gitar elektrik dan amplifier terkena air tetapi masih boleh dibaiki. Saya anggarkan kerugian lebih RM10,000 kali ini.

 “Kami penat dan perit untuk menghadapi situasi sebegini walaupun sudah lali dengan bencana yang berlaku saban tahun sejak 2014. Banjir kali ini lebih teruk berbanding 2022,” katanya kepada Kosmo! semalam. 

Menurut Norhasram, suka atau tidak dia perlu menghadap situasi berkenaan dan menyental selut yang ada di dalam rumah secepat mungkin walaupun tahu gelombang kedua akan melanda dalam tempoh terdekat. 

Sementara itu, Abdullah Idris, 56, berkata, dia sudah hilang kata-kata apabila mengalami kerugian berjumlah lebih RM10,000 setiap kali musim tengkujuh.

“Barangan elektrik mudah rosak ketika banjir. Jika boleh baiki, saya hantar ke kedai dan kalau tak boleh maknanya kena beli baharu. 

“Walaupun telah bersedia, kami tidak boleh lari daripada kerugian akibat banjir,” katanya. 

Sementara itu Gua Musang, seorang warga emas di Kampung Limau Kasturi, Azizah Othman, 60, berkata, dia sudah berdepan dengan 30 kali banjir dan 2014 disifatkan paling buruk apabila seluruh rumahnya berdekatan Sungai Galas tenggelam. 

“Saya rugi RM10,000 setiap kali banjir. Saya sudah lali kerana kawasan kampung terletak di kawasan rendah,” katanya. 

Di Jitra, rata-rata penduduk di Taman Tabung Haji di Kepala Batas rugi besar apabila barangan dan rumah rosak selepas dinaiki air melebihi 1.5 meter pada Jumaat lalu. 

Seorang mekanik, Azlan Shah Zakaria, 37, berkata, banyak barang dalam rumah terbalik apabila dia pulang dari PPS kelmarin. 

“Ini banjir paling teruk yang mana banyak barang seperti almari kayu terpaksa dibuang kerana rosak. Saya rugi lebih RM15,000,” katanya. 

Seorang lagi penduduk, Mohd. Aswad Azizan, 37, berkata, dia kerugian lebih RM20,000. 

“Saya dan penduduk mula mencuci rumah dan membuang semua barang yang tidak boleh digunakan lagi,” katanya. 

Di Kuala Nerus, rata-rata keluarga di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak kerugian lebih RM5,000 apabila rumah mereka tenggelam sejak Isnin lalu. 

Abdul Malik Muhammad, 48, berkata, dia tidak sempat mengalihkan peti sejuk, mesin basuh dan perabot kerana air naik mendadak. 

“Saya risau akan rugi lebih besar ketika gelombang yang bakal berlaku Ahad ini. Taman perumahan itu telah banjir sebanyak sembilan kali,” katanya ketika ditemui di PPS SK Komples Gong Badak, Kuala Nerus.

No comments:

Post a Comment