KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir gelombang seterusnya di Terengganu yang bermula kelmarin meningkat kepada 5,853 orang melibatkan dua daerah iaitu Kemaman dan Dungun.
Mereka yang terdiri daripada 1,449 keluarga kini berlindung di 30 pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua daerah berkenaan.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Kemaman mempunyai 5,452 mangsa daripada 1,356 keluarga.
“Semua mangsa tersebut berada di 22 PPS di seluruh Kemaman. Seramai 401 mangsa daripada 93 keluarga pula berada di lapan PPS di Dungun,” katanya di sini, hari ini.
Sekretariat JPBN Terengganu berkata, hujan semakin reda di kebanyakan kawasan di negeri ini dengan cuaca hari ini diramal mendung.
Terdahulu, hujan lebat tahap buruk yang turun hampir 24 jam telah menyebabkan Kemaman dan Dungun dilanda banjir bermula pukul 11.30 malam kelmarin. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment