Oleh MOHD AZLI ADLAN
HULU TERENGGANU – Solat Jumaat di Masjid Kampung Tanah Lot, Bukit Tadok, di sini terpaksa dibatalkan dan digantikan dengan solat zuhur berikutan kekurangan jemaah ekoran laluan masuk ke rumah ibadat itu ditenggelami banjir sedalam 0.5 meter, hari ini.
Bilal masjid itu, Mohd. Zulkifli Harun, berkata, solat Jumaat tidak dapat dilaksanakan ekoran kehadiran hanya 30 jemaah.
“Kebanyakan jemaah hadir merupakan penduduk Kampung Tanah Lot yang terpaksa meredah banjir dengan menaiki sampan.
“Penduduk Kampung Paloh Nyior dan Kampung Pelam berdekatan yang juga kariah masjid ini pula terperangkap dalam banjir yang lebih besar di perkampungan masing-masing,” katanya kepada Kosmo!, di sini hari ini.
Mohd. Zulkifli berkata, pengurusan masjid memutuskan untuk membatalkan solat Jumaat hari ini dan menggantikannya dengan solat zuhur.
Beliau berkata, Kampung Tanah Lot sudah biasa dilanda banjir pada musim tengkujuh.
“Pada musim tengkujuh lalu awal tahun ini, perkampungan ini ditenggelami banjir dalam dua episod berbeza. Banjir kali ini lebih besar hingga memaksa sebahagian penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara,” katanya. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment