Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN dan MOHD AZLI ADLAN
RAUB – Rata-rata ibu bapa menyambung baik syor untuk menukar waktu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di luar musim tengkujuh kerana ia tidak memberi tekanan kepada pelajar.
Seorang suri rumah dari Kampung Lechar di sini, Salina Mohamed Jamil, 51, berkata, cadangan berkenaan dilihat mampu mengurangkan tekanan calon SPM khususnya di negeri yang terlibat dengan banjir setiap tahun.
“Hampir setiap tahun kejadian banjir berlaku dalam bulan November, Disember dan Januari. Pada masa sama, para pelajar tingkatan lima akan menghadapi peperiksaan SPM.
“Jadi baguslah kalau ada syor untuk anjakkan tarikh peperiksaan SPM di luar musim banjir sebab kasihan pada calon yang mungkin terjejas emosi kerana perlu menghadapi banjir,” katanya di sini semalam.
Tambahnya, kesukaran yang dialami anaknya yang mula mengambil peperiksaan SPM hari ini ketika rumah dilanda banjir tidak harus berulang kepada calon lain pada masa hadapan.
Katanya, anaknya yang menumpang di rumah saudara terpaksa berjauhan dengannya yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara.
Dalam pada itu, di Kuala Terengganu, seorang ibu, Siti Sakinah Md. Yaakob, 41, berharap cadangan untuk menukar jadual peperiksaan SPM di luar musim tengkujuh dapat direalisasikan Kementerian Pendidikan.
Dia yang mempunyai dua anak yang kini berada di tingkatan tiga dan dua berkata, peperiksaan SPM di luar musim tengkujuh memberi keadilan terutama dari segi mental dan emosi kepada calon khususnya yang berada di negeri-negeri sering terjejas banjir di Pantai Timur.
“Tidak salah untuk lewatkan sedikit jadual peperiksaan SPM selepas Monsun Timur Laut semakin reda sesuai dengan ramalan cuaca semasa.
“Ia tidak akan mengganggu fasa seterusnya anak-anak melangkah ke institusi pengajian tinggi (IPT) kerana sesi kemasukan pada masa ini telah ditetapkan pada bulan Ogos atau September,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Di Machang, Kelantan pula, seorang tukang jahit, Norliza Abdullah, 45, menyokong sekiranya KPM membuat pertimbangan menukar waktu peperiksaan SPM di luar musim tengkujuh.
Dia berpendapat, peperiksaan SPM sesuai diadakan pada September atau Oktober.
“Kedua-dua bulan tersebut merupakan peringkat awal musim tengkujuh malah hujan juga tidak lebat dan berterusan seperti hujung November hingga Disember.
“Ibu bapa juga tidak bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka semasa menjalankan persiapan SPM,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment