KUALA TERENGGANU – Gara-gara ghairah mahu menjana keuntungan berganda daripada skim pelaburan dalam talian, seorang penjawat awam kerajaan Terengganu kerugian RM148,000 apabila diperdaya sindiket penipuan atau scammer.
Lelaki berusia 46 tahun itu yang menyedari tertipu dengan skim pelaburan tidak wujud tersebut telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 2.09 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terenggani, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa menerima tawaran pelaburan atas talian itu pada 20 Ogos lalu sebelum mula berkomunikasi dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp pada 4 September lalu.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran skim pelaburan dalam talian berkenaan mula mengikuti kelas pelaburan sebelum memuatnaik aplikasi diarahkan pada 16 September lalu.
“Dia kemudiannya melunaskan modal pelaburan berjumlah keseluruhan RM138,000 antara 19 September hingga 24 Oktober lalu,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, pembayaran tersebut dilakukan penjawat awam berkenaan menerusi 28 transaksi di dalam tiga akaun bank berasingan diarahkan suspek.
Beliau berkata, lelaki itu yang teruja apabila ‘pelaburannya’ berjaya menjana lebih RM1.33 juta cuba mengeluarkan keuntungannya namun sekadar menerima RM3,400.
“Sudah lah begitu, akaun pelaburannya pula tiba-tiba dibekukan dan dikenakan penalti RM25,000 pada 13 November lalu.
“Mangsa sekadar mampu melunaskan RM10,000 sebagai bayaran penalti sebelum diancam dikenakan tindakan lebih besar lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment