PETALING JAYA – Pemilik trak tunda di Kelantan, Terengganu dan Kedah meraih pendapatan sehingga RM3,000 sehari pada musim banjir apabila banyak kenderaan yang ditenggelami air perlu ditarik untuk dihantar ke bengkel.
Dalam tempoh seminggu lalu ketika gelombang pertama banjir, ramai pemilik trak tunda tidak putus-putus menerima panggilan pelanggan yang terkandas di tengah jalan apabila kenderaan mereka rosak akibat meredah banjir.
Di Kota Bharu, Kelantan, seorang pemilik syarikat trak tunda, Hilimi Mat, 44, berkata, sebelum ini, dia hanya memperoleh purata pendapatan RM300 hingga RM500 sehari dengan menarik sebanyak sebuah atau dua buah kenderaan.
Kata Hilimi, pendapatannya melonjak sehingga ke RM3,000 sehari apabila menunda lebih tujuh buah kenderaan di dua daerah iaitu Kota Bharu dan Tumpat.
“Upah yang diperoleh untuk menarik sebuah kereta dianggarkan RM300 hingga RM350 bergantung kepada jarak dan saiz kenderaan.
“Bayaran dicaj mengikut jarak ke bengkel. Buat masa ini, saya tidak menang tangan melayan panggilan telefon daripada pemilik kereta yang memerlukan khidmat trak tunda apabila kenderaan mereka tenggelam banjir.
“Beberapa buah trak tunda saya boleh menarik dan membawa pelbagai jenis kenderaan tidak kira kenderaan utiliti sukan (SUV), kenderaan pelbagai guna (MPV) atau kereta sedan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Hilimi memberitahu, dia difahamkan bengkel di kebanyakan kawasan di Tumpat dan Kota Bharu tidak menerima kereta terjejas banjir untuk membuat tuntutan insurans kerana tempat mereka sudah penuh.
Keadaan itu menyebabkan kenderaan yang rosak terpaksa ditunda ke tempat lebih jauh.
“Banjir tahun ini te ruk apabila banyak kenderaan terutamanya di Tumpat yang tenggelam kerana air Sungai Golok cepat melimpah minggu lalu,” ujarnya.
Di Setiu, Terengganu, seorang pengusaha trak tunda, Mohd. Faizal Anwar Abdullah, 24, berkata, dia membuat perkhidmatan menunda kira-kira 100 kenderaan sepanjang tempoh lebih seminggu negeri itu dilanda banjir.
Katanya, kebanyakan pelanggannya terkandas apabila tidak dapat melalui Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Permaisuri yang ketika itu ditenggelami air sedalam lebih semeter.
“Sebahagian kereta mengalami kerosakan akibat cuba mengharung banjir, manakala selebihnya mahu menggunakan lori trak penunda untuk melepasi laluan ditenggelami air,” ujarnya.
Menurutnya, bagi perkhidmatan mengharung banjir, dia me ngenakan caj antara RM100 hingga RM150 bagi sebuah kenderaan bergantung pada jarak dan kedalaman air.
Tambahnya, caj RM250 pula dikenakan bagi kenderaan yang mengalami kerosakan untuk dihantar ke bengkel berhampiran.
“Ramai juga mahu perkhidmatan meredah banjir kerana jalan alternatif agak jauh selain turut berisiko terjejas banjir juga,” ujarnya.
Di Alor Setar, Kedah, pemandu trak tunda, Muhammad Ayman Joshua, 38, berkata, dia bersama lima lagi pemandu pernah menunda kira-kira 15 kenderaan yang terkandas akibat banjir dalam masa sehari, baru-baru ini.
“Kami memang sibuk menunda kenderaan sejak bermula banjir pada hujung bulan lalu hingga 2 Disember lepas.
Kebanyakan kenderaan rosak akibat meredah air yang agak dalam.
“Boleh dikatakan setiap daripada kami akan menunda antara dua hingga tiga kenderaan tersangkut banjir sehari sepanjang tempoh itu,” katanya.
Ujarnya, kumpulan trak tundanya hanya mengenakan caj sebanyak RM50 bagi setiap kenderaan terkandas banjir yang dihantar ke bengkel di kawasan berhampiran.
“Kami mengenakan harga yang lebih rendah berbanding harga biasa iaitu antara RM70 hingga RM80 bagi setiap kenderaan untuk jarak perjalanan sama bagi kes lain sebelum ini.
“Paling tinggi adalah kira-kira RM500 bagi sebuah kenderaan rosak akibat banjir yang ditunda dari Changlun ke Pulau Pinang,” tambahnya.
Menurutnya, lokasi paling banyak kenderaan terkandas adalah di sekitar Anak Bukit, di sini apabila jalan utama di situ ditenggelami air.
“Rata-rata pemandu cuba untuk meredah banjir, namun gagal apabila kenderaan ‘mati’ di tengah jalan,” jelasnya.
Tambahnya, ada pemandu trak tunda yang mengenakan harga lebih tinggi iaitu sehingga RM300, namun ia berdasarkan jarak ke lokasi bengkel, keadaan banjir di sesebuah lokasi serta jenis trak tunda yang digunakan.
“Bagi pengusaha trak tunda, kami juga terpaksa menanggung kos untuk servis kenderaan terutama selepas meredah banjir,” jelasnya.
Pada 30 November lalu, Kosmo! melaporkan hampir kesemua negeri terjejas banjir melibatkan lebih 90,000 mangsa dengan Kelantan paling teruk terjejas.
Jumlah mangsa banjir terus meningkat melebihi 150,000 orang yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebelum bilangannya menurun.
Sehingga pukul 4.30 petang semalam, jumlah mangsa tinggal 758 orang di lima negeri, namun langkah berjaga-jaga terus diambil ekoran gelombang seterusnya dijanka berlaku pada masa terdekat.
No comments:
Post a Comment