Translate

Monday, December 9, 2024

Lelaki Bangladesh tinggal haram selama 18 tahun diberkas

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kelicikan seorang lelaki warga Bangladesh yang hidup sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini selama hampir 18 tahun berakhir apabila dia berjaya juga diberkas penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) baru-baru ini.

Lelaki berusia 37 tahun yang ditahan dalam serbuan pada 25 Oktober lalu itu telah dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Pengarah Imigresen Terengganu, Mohd. Yusri Mohd. Nor berkata, tertuduh merupakan antara 24 PATI yang berjaya ditangkap dalam serbuan tersebut yang dilakukan di sebuah flat di Kampung Nisan Empat di sini.

“Hasil soal siasat mendapati dia telah menetap di negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan sah selama 18 tahun.

“Dia mengaku memasuki negara ini secara haram sewaktu berusia 19 tahun,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Yusri berkata, sepanjang tempoh 18 tahun tersebut, lelaki Bangladesh tersebut mengaku sering berpindah randah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, tertuduh itu akhirnya masuk juga perangkap apabila berjaya ditahan bersama 11 warga Indonesia, Bangladesh (enam), Pakistan (empat) dan Myanmar (tiga) dalam serbuan dilakukan pasukan penguat kuasa JIM Terengganu.

“Dia telah dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment