Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Besut menjadi daerah kedua dilanda banjir di Terengganu selepas Marang hari ini berikutan hujan lebat berlarutan sejak semalam.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, mangsa banjir negeri ini meningkat sedikit kepada 97 orang daripada 32 keluarga di kedua-dua daerah terbabit.
Beliau berkata, mereka kini ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di Besut dan Marang.
“Besut mempunyai 56 mangsa daripada 22 keluarga yang berada di lima PPS.
“Lima PPS tersebut ialah Dewan Terbuka Kampung Belaoh, Masjid Kayu Ulul Albab, Masjid Laklok, Balai Raya Beris Pak Abu dan Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Tenang,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, seramai 41 mangsa daripada 10 keluarga pula masih berada di PPS SK Simpang Rawai, Marang.
Beliau berkata, langkah berjaga-jaga telah diambil memandangkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan sangat lebat tahap merah sehingga lusa. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment