Oleh MOHD AZLI ADLAN
MARANG – Pengendali Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2), LPT 2 Sdn. Bhd. bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir berikutan Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula 5 November lalu.
Pengurus Wilayah LPT 2, Mohamad Pazli Kasim berkata, tumpuan akan diberikan terhadap lapan kawasan berisiko ditenggelami bah atau lintasan air di sepanjang laluan sepanjang 184 kilometer (km) tersebut.
“Tiga lokasi berisiko itu berada di dalam kawasan lebuh raya, dua selepas plaza tol dan tiga di luar kawasan lebuh raya.
“Antara lokasi utama adalah persimpangan bertingkat Plaza Tol Bukit Besi, Dungun dan Kilmeter (KM) 373, LPT 2 kedua-dua arah berhampiran Ajil, Hulu Terengganu,” katanya di Dataran Batu Putih di sini hari ini.
Terdahulu beliau ditemui pada program Hari Komuniti MyPlus anjuran LPT 2 yang juga anak syarikat Plus Expressways Berhad.
Mohamad Pazli berkata, pihaknya menyediakan pelan mitigasi termasuk menyediakan laluan kontra sekiranya lokasi terlibat terjejas banjir dan lintasan air kelak.
Tambah beliau, maklumat terkini juga sentiasa disalurkan pengguna LPT 2 menerusi pelbagai medium media sosial.
“Kita juga telah mengambil langkah awal membina tembok penahan banjir di dua lokasi pernah berlaku tanah runtuh pada musim tengkujuh sebelum ini.
“Selain itu penanda aras banjir juga telah dipasang terutama di lokasi berisiko selain pemantauan cerun dan saliran LPT 2 secara berkala,” katanya. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment