KUALA TERENGGANU – Situasi banjir di empat negeri semakin pulih dengan jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara hanya tinggal 524 orang melibatkan 143 keluarga berada di pusat pemindahan sementara (PPS).
Situasi banjir di Terengganu semalam semakin pulih apabila hanya tinggal 230 mangsa di Kemaman.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Dungun telah pulih daripada banjir dengan 36 mangsa daripada lapan keluarga yang terjejas sebelum ini telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada pukul 4 petang.
“Kesemua 230 mangsa daripada 58 keluarga tersebut masih berlindung di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman.
“Mereka berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Kerteh, Balai Raya Beris Nenas, Balai Raya Meraga Beris dan Balai Raya Padang Kemunting,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Banjir gelombang ketiga kembali melanda Terengganu bermula lewat malam Isnin lalu dengan menjejaskan lebih 5,000 penduduk di daerah Kemaman dan Dungun.
Dalam pada itu, di Kelantan banjir yang melanda beberapa kawasan di Gua Musang yang bermula kelmarin pulih apabila sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang sebelum ini menempatkan 41 mangsa ditutup petang kelmarin.
Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi itu ditutup kira-kira 5.30 petang
Menurutnya, seramai 41 mangsa yang terlibat dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas banjir di daerah tersebut mulai surut.
Sementara itu, laman web Public Info Banjir melaporkan, air Sungai Golok ketika ini melepasi paras bahaya dengan bacaan 9.15 meter, manakala Sungai Kelantan di Kuala Krai berada pada tahap amaran.
Menurutnya, Sungai Kusial di Tanah Merah dan Sungai Golok di Kuala Jambu mencatatkan bacaan berjaga-jaga.
No comments:
Post a Comment