Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Sebutan semula kes wanita yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV), Honda SU-V yang berdepan dakwaan cubaan membunuh seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada bulan lalu ditetapkan pada 18 Disember depan.
Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli memerintahkan demikian selepas tertuduh, Norizan Ismail, 49, tidak dapat hadir pada prosiding hari ini ekoran ibu tiga anak itu masih ditempatkan di Hospital Permai, Johor Bahru.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim memaklumkan pengurusan hospital itu memohon agar tempoh pemeriksaan mental tertuduh dilanjutkan lagi bagi membolehkan laporan psikiatri siap sepenuhnya.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan cubaan membunuh terhadap Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu Jalan Pantai pada pukul 7.30 malam, 9 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Hukuman penjara boleh ditingkatkan sehingga 20 tahun sekiranya perbuatan itu mendatangkan kecederaan.
Norizan turut menghadapi tiga pertuduhan membunuh tiga pelajar UiTM Dungun lain di Mahkamah Majistret Dungun.
Kosmo! hari ini melaporkan Norizan dibenarkan berada di Hospital Permai selama sebulan lagi dalam prosiding sebutan semula kes dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu di Mahkamah Majistret Dungun.
Sebelum ini, tertuduh didakwa melanggar dua motosikal dinaiki empat pelajar UiTM Dungun sehingga menyebabkan tiga maut, manakala seorang lagi cedera parah. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment