Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Jabatan Perikanan menerima 10 aset baharu iaitu bot peronda laju yang bakal meningkatkan lagi keupayaan bagi memantau dan mengawasi aktiviti nelayan di perairan negara.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, bot peronda sepanjang 13 meter itu merupakan terbesar dimiliki jabatannya dan dilengkapi peralatan elektronik canggih dan sistem komunikasi terkini.
Beliau berkata, aset bernilai keseluruhan RM15 juta tersebut juga memiliki kelajuan sehingga 42 knots yang mampu mengejar dan memintas bot suspek cuba melarikan diri sewaktu operasi.
“Sebelum ini, Jabatan Perikanan memiliki 86 bot pengawasan yang bersaiz lebih kecil iaitu 10 meter dan 11 meter.
“Sebanyak 10 bot peronda laju 13 meter baharu ini akan ditempatkan di Johor (tiga), Perak dan Pulau Pinang masing-masing dua buah serta sebuah bagi Kedah, Melaka dan Kelantan,” katanya di Pulau Kambing di sini hari ini.
Terdahulu beliau menerima 10 bot peronda laju baharu berkenaan daripada syarikat perkapalan, MSET Shipbuilding Corporation Sdn. Bhd.
Adnan berkata, aduan salah laku nelayan banyak diterima dan penggantian aset uzur faktor enam negeri terbabit menjadi keutamaan penempatan 10 peronda laju baharu tersebut.
Jelas beliau, antara isu diberi perhatian serius untuk ditangani secara lebih berkesan ialah pencerobohan kawasan zon nelayan tradisi oleh nelayan komersial yang menggunakan pukat tunda. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment